Salam..
Nasyid ; Pop atau Asli mana yang lebih sesuai..???
Persoalan sebegitu kerapkali kita dengar dan sering menjadi pertikaian banyak pihak dari dulu hingga sekarang. Mana lebih halal..muzik bertali atau muzik perkusi…??? Pernah diberitakan band nasyid pertama Kumpulan Algebra terpaksa membatalkan 1 persembahan akibat protes/pertikaian mengenai cara dan gaya muzik mereka yang tidak sesuai. Harap perkara seperti ini dapat dijelaskan dengan segera oleh pihak yang berkenaan seperti majlis fatwa dan sebagainya agar ianya tidak lagi menjadi krisis.
di bawah ini dikongsikan satu artikel yang menarik untuk difikirkan bersama. Artikel yang ditulis oleh saudara Muhamad Razin Che Mud, Setiausaha Agung Persatuan Penggiat Industri Nasyid (PIN) ini telah disiarkan di Nasyeed.com.
Maksud dan difinisi
Saya ingin kongsikan maksud dan definisi nasyid dari kacamata saya dan mungkin sebahagian besar aktivis nasyid yang lain di Malaysia. Suka saya tegaskan di sini bahawa nasyid BUKANLAH satu genre muzik sebagaimana yang mungkin difahami oleh ramai orang. Kesenian nasyid datang dengan 3 elemen dalam satu pakej seperti berikut:
- Lagu dan lirik harus sesuai dengan kehendak syarak dengan mesej yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah perkara mungkar
- Nasyid harus dipersembahkan dalam suasana yang terkawal dan tidak bercampur dengan unsur maksiat seperti hidangan minuman keras dan percampuran melampau antara lelaki dan wanita
- Penyanyi nasyid itu sendiri harus mempunyai keperibadian dan akhlak yang menepati syariat Islam. Oleh sebab itu kita tidak mengkategorikan penyanyi-penyanyi “mainstream” lain sebagai penyanyi nasyid walaupun mereka menyanyikan lagu ketuhanan. Lagipun seseorang penyanyi nasyid itu akan “declare” dia sebagai penyanyi nasyid.
Dalam konteks berbeza, nasyid juga harus mempunyai 3 elemen penting seperti berikut:
- Risalah: Ini merujuk kepada intipati lirik yang membawa mesej-mesej yang baik bersumberkan petikan maksud ayat suci Al Quran, Hadis mahupun kata-kata atau cetusan minda seseorang individu
- Dakwah: Nasyid harus mampu menjadi salah satu instrumen atau medium dakwah yang menyeru kepada kebaikan dan mencegak kemungkaran
- Tarbiyyah: Nasyid juga harus punya kemampuan untuk mentarbiyyah pendengar dan lebih penting penyanyi nasyid itu sendiri secara langsung atau tidak langsung sekaligus memangkin pengamalan kehidupan sejajar dengan syariat Islam.
Dari sudut muzik, nasyid boleh jadi apa saja daripada irama padang pasir, pop, raggae, hip hop, zapin, joget hinggalah rock. Islam itu agama yang sarwajagat sifatnya. Begitu juga nasyid sebagai wadah hiburan Islam.Kita tidak boleh memaksa sesuatu golongan atau bangsa itu menerima corak muzik atau budaya kita. Orang Jamaica yang membesar dengan irama raggae tentulah tak boleh nak layan lagu zapin. Begitu juga dengan orang Arab pun mungkin payah nak “masuk” dengan irama jazz. Biarlah mereka memilih nasyid dengan irama yang kena dengan jiwa mereka selagi mana mana apa yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat. Namun saya sangat setuju jika diwajibkan setiap penasyid itu harus mampu membawakan lagu-lagu berasaskan taranum Al Quran sama ada lagu berunsur Masriseperti Nahwan, Soba, Jiharkah, Rast, Hijaz, Bayati dan Sikah mahupun lagu berunsur Hijazi seperti Husaini, Mayyah, Rakbi dan Dukah. Tak perlulah perfect cuma cukup sekadar tahu melagukan atau paling teruk pun boleh tiru la. Ini kerana irama-irama inilah yang menjadi akar atau asas kepada kepada irama nasyid. Sebab itulah pada satu ketika irama nasyid di Malaysia ini di salah tafsirkan sebagai irama padang pasir.
Instrumen Muzik dalam Nasyid
Pada era nasyid dipopularkan oleh pergerakan Al-Arqam melalui kumpulan nasyid Nadamurni (Rabbani + Hijjaz) dan The Zikr (Raihan), Intrumen yang digunakan ketika itu hanyalah perkusi. Ini kerana mereka berpendapat hanya alatan muzik sebegitu sahaja halal digunakan amanakal alatan muzik berasaskan tali dan berturus udara seperti gitar, seruling, bass dan sebagainya haram. Namun pada masa yang sama sebenarnya telah wujud kumpulan nasyid seperti Al Jawaher, Al Mizan, Al Suraya dan lain-lain yang telahpun menggunakan instrumen muzik moden sejajar dengan konsep pop yang mereka bawa. Menurut cerita teman-teman yang pernah bersama Al Arqam, mereka pernah juga menganggap semua instrumen muzik itu haram untuk digunakan. Sebab itulah album-album nasyid yang diterbitkan oleh Al Arqam pada peringkat awal hanyalah nyanyian semata-mata tanpa iringan muzik. Menurut cerita, antara orang yang bertanggungjawab memperkenalkan penggunaan perkusi dalam Al Arqam ialah Habib Asasi yang popular dengan lagu Az Ziarah yang kini dinyanyikan semula oleh Inteam.
Pada awal era nasyid kontemporari irama nasyid masih terikat dengan perkusi. As time goes by, para penggiat industri nasyid mendapatkan pandangan ulamak-ulamak tertentu baik di kalangan kakiktangan kerajaan, pendakwah bebas mahupun di kalangan tokoh parti pembangkang tentang penggunaan alat muzik dalam nasyid. Majoriti berpendapat bahawa semua perkara yang wujud dibumi ini pada asalnya adalah HARUS selain daripada perkara yang jelas diharamkan dalam Al Quran dan Hadis dan hukumnya bersifat Qat’ie (putus) contohnya babi atau arak. Ini termasuklah alat-alat muzik sama ada perkusi, bertali mahupun bertiup. Selagi mana ia digunakan untuk tujuan dan dengan cara yang tidak bercanggah dengan syarak maka hukumnya harus untuk digunakan. Ulamak terdahulu mengharamkan alat muzik bertali dan bertiup bukan kerana zat alat itu sendiri tetapi kerana pada satu ketika ia menjadi syiar kepada golongan fasik.
Walau bagaimanapun saya setuju dengan pandangan bahawa muzik nasyid harus tidak bingit dan terlalu kuat sehingga menenggelamkan nyanyian sekaligus menghalang mesej yang dibawa melalui lirik nasyid untuk sampai ke telinga pendengar. Apabila mesej tidak dapat disampaikan kepada pendengar maka hilanglah asas kepada tujuan nasyid itu sendiri yakni dakwah dan tarbiyyah.
Saya juga secara peribadi bersetuju dengan pandangan di atas..
Harapan saya agar seluruh karyawan nasyid dapat terus berdakwah tanpa sekatan walau dalam bentuk apapun..
Yang paling penting bagi saya.. samada nasyid atau bukan nasyid… muzik, lagu,lirik,imej,penyampaian dakwah itu sendiri mampu memberi kesan yang kuat pada pendengar.. InsyaAllah…
Wassalam.
RAHMAT
Komen Terkini